NASIONAL

Kebakaran di Gunung Baling hampir dipadam sepenuhnya

ALOR SETAR, 10 FEB: Kebakaran di Gunung Baling yang berlaku sejak Rabu lalu hampir dipadamkan sepenuhnya dengan hanya satu titik kebakaran dikesan masih aktif.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, titik kebakaran itu yang dikesan di kawasan tengah gunung telah dipadamkan sebelum ini namun aktif kembali susulan cuaca panas dan angin kuat.

“Kita akan cuba padam titik kebakaran itu pagi ini sementara angin tidak kuat manakala titik kebakaran yang lain telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Kerja pemadaman hari ini adalah melalui jalan darat dan penggunaan helikopter pula telah ditamatkan,” katanya hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, lebih 80 anggota bomba dan penguat kuasa lain serta malim gunung dalam operasi memadamkan kebakaran berkenaan.

Punca kebakaran itu dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian.


Pengarang :