NASIONAL

Kebanyakkan al-Quran dijual dalam talian tiada kelulusan KDN

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau modus operandi tiga pihak yang menjual al-Quran secara dalam talian di negara ini, tanpa mendapat kelulusan kementerian.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Mohd Nawardi Saad berkata, sebahagian besar naskah al-Quran yang dijual secara dalam talian, datang dari negara-negara jiran, yang didapati tidak memenuhi syarat dari segi standard percetakan di Malaysia.

“Siasatan kami mendapati penjual atau ejen terbabit membeli al-Quran dari negara jiran, yang sebahagian besarnya tidak memohon lesen import dari KDN, menyebabkan ia tidak dapat disemak oleh kami.

“Di Malaysia, percetakan naskah al-Quran berdasarkan kepada sistem percetakan Arab Saudi, yang dipanggil Rasm Uthmani, tetapi negara tetangga kita mempunyai standard percetakan yang berbeza dan dari segi tanda ‘waqaf’ (tanda-tanda untuk menghentikan bacaan sebentar) dan ‘ibtida’ (tanda-tanda untuk menyambung semula bacaan) juga berbeza, daripada apa yang kita gunakan di sini,” katanya lapor BERNAMA.

Mohd Nawardi berkata, kesalahan menjual naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN, boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Katanya, pada masa ini pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan, tetapi aktiviti pihak terbabit kini dalam pemerhatian disamping mengumpulkan maklumat dan bukti sebelum mengambil sebarang tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata bahagiannya akan terus menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan, pejabat pos dan pintu masuk negara untuk memastikan tidak ada naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN dijual kepada orang ramai.

“Naskah al-Quran yang dapat kelulusan KDN mempunyai cetakan cop khas berwarna biru dalam tulisan jawi, ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam teks ini adalah betul’ disamping KDN menambah ciri baru dengan kod QR dan hologram,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, sejumlah 178 naskah al-Quran tanpa kelulusan KDN dirampas dari sebuah premis di Sungai Petani.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kedah, Zaki Mohamed berkata ketiga-tiga pihak itu didapati secara aktif melakukan pemasaran dalam talian untuk ‘menarik’ pengguna membeli al-Quran tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :