BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin ceriakan sambutan CNY

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 17 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menghadiri Sambutan Rumah Terbuka Sempena Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Dataran Petaling Jaya, semalam.

Turut berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama menyerikan sambutan yang dihadiri 3,000 rakyat sejak jam 7 malam.

Hujan lebat yang turun di sekitar Petaling Jaya sejak jam 6.45 petang sedikit sebanyak menjejaskan kehadiran pengunjung untuk bersama-sama memeriahkan sambutan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Tahun Baru Cina, Datuk Teng Chang Kim barisan EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri (ADN) serta Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut sama hadir bersama-sama meraikan majlis.

Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Chang Kim selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Tahun Baru Cina dan disusuli ucaptama Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah turut berkenan berangkat ke pentas utama bersama-sama Amirudin, Chang Kim serta Suee Lim bagi memalu gendang sebagai simbolik perasmian pembukaan Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor dengan diikuti acara menggaul ‘Yee Sang’ bersama-sama dif-dif kehormat.

Acara diteruskan dengan majlis makan malam dan kemudiannya disusuli pemberian ‘ang pow’ kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Invest Selangor Berhad bersama Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan bertindak selaku penganjur bersama bagi sambutan kali ini yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tourism Selangor Sdn Bhd serta Hijrah Selangor.

Pengisian program turut diserikan dengan persembahan Tarian Singa, Diaboli, Harmonica, Choir, Drum serta pemberian limau kepada orang awam selain penampilan selebriti, Angeline Tan selaku pengacara majlis bersama.


Pengarang :