SELANGOR

Kejayaan SELCAT naikkan nama Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 FEB: Beberapa siri pendedahan yang dilakukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), sebelum ini berjaya menaikkan nama pentadbiran Kerajaan Negeri.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, kewujudan SELCAT turut menjadi sebutan ekorab ia tidak pernah diwujudkan pada peringkat Parlimen, mahupun pentadbiran negeri lain.

Katanya, sepanjang penubuhannya, SELCAT sudah menjalankan beberapa pendengaran terbuka untuk mengenal pasti isu berbangkit.

“Bermula 2009, kita berjaya menyelesaikan isu ‘panas’ membabitkan peruntukan, pasir dan salah satu isu berkenaan peruntukan buat isteri wakil rakyat yang pernah dibawa hingga ke mahkamah dan akhirnya kita menang kes terbabit.

“Untuk makluman, mantan pengerusi, Dato’ Teng Chang Khim turut berjaya membawa nama SELCAT dan mentadbirnya dengan baik sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Negeri Melaka (MELCAT) ke Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

MELCAT diketuai Pengerusinya, Damian Yeo Shen Li; Ahli Jawatankuasa, Datuk Dr Wong Fort Pin; Gue Teck; Allex Seah Shoo Chin dan Datuk Roslan Datuk Ahmad.

Sementara SELCAT diwakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong; ADN Hulu Kelang, Saari Sungib; ADN Banting, Lau Weng San dan ADN Sungai Tawar, Rizam Ismail.

Sementara itu, Pengerusi MELCAT, Damian Yeo Shen Li berkata, lawatan itu bertujuan mendapatkan maklumat berkenaan peranan dan tanggungjawab SELCAT, di Selangor.

Katanya, beliau percaya MELCAT mampu menangani masalah rasuah, sekali gus membuktikan ketelusan pentadbiran Kerajaan Melaka kepada rakyat.

“Jika dilihat daripada sudut pentadbiran Melaka sebelum ini, kita dapati begitu banyak hutang yang terpaksa ditanggung sehingga mencecah billion ringgit.

“Saya amat berharap dengan adanya penubuhan MELCAT ini akan adanya usaha semak dan seimbang, sekali gus menjadikan Melaka bersih serta bebas dari rasuah,” katanya.


Pengarang :