SELANGOR

Kejohanan Bola Sepak Piala Adun Paya Jaras edisi ke-10 kembali

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 FEB: Program untuk generasi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras terus dirancakkan dengan pengisian pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat golongan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antara aktiviti terbabit adalah Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Adun Paya Jaras 2019 yang akan membuka tirainya pada 9 Mac 2019.

“Kejohanan bola sepak di DUN Paya Jaras yang memasuki edisi ke-10 ini dimulakan sejak saya masih lagi sebagai Penyelaras DUN dengan format agak berbeza dengan mengikut zon, namun selepas saya menyandang kerusi ADN pada 2013, beberapa penambahbaikan dilakukan termasuk menjenamakan semula kejohanan ini kepada Piala Adun Paya Jaras.

“Antara objektif utama kejohanan ini supaya golongan muda di Paya Jaras merasa diri mereka didekati, tidak dipinggirkan dan dapat mengisi masa mereka dengan aktiviti berfaedah dan sihat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga merupakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, kejohanan ini juga menjadi landasan kepada anak muda di Paya Jaras mengembangkan bakat mereka dalam sukan bola sepak.

Sementara itu, sebanyak 32 buah pasukan akan bertarung pada Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Adun Paya Jaras kali ini.

Pendaftaran penyertaaan bagi pasukan berminat masih lagi dibuka sehingga 16 Febuari 2019, manakala undian dan mesyuarat pengurus pasukan akan diadakan pada jam 5.00 petang, 3 Mac 2019.


Pengarang :