SELANGOR

Keluarga tuntut Satim tarik kenyataan

OLEH HAFIFA AWANG

SHAH ALAM, 28 FEB: Keluarga Allahyarham Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor yang meninggal dunia mahu Datuk Mohamed Satim Diman menarik balik kenyataan tidak sensitifnya berhubung kematian kesemua pemimpin itu.

Balu Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Adibah Ahmad berkata, Ketua UMNO Bahagian Puchong itu digesa menarik semula kenyataan yang mengguris hati keluarga dan kenalan Allahyarham.

“Sesungguhnya tidak ada mana-mana pangkat, darjat atau latar belakang parti politik yang dapat menghalang takdir Allah berkaitan kehidupan dan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Balu Shuhami Shafiei, mendiang Eddie Ng Tien Chee dan anak Allahyarham Bahtiar Mohd Nor.

Beliau percaya setiap pemergian itu adalah qada’ dan qadar serta berharap tiada lagi unsur kempen melampaui batas norma dan budaya sebagai rakyat Malaysia.

“Kehidupan dan kematian itu adalah takdir Yang Maha Kuasa, tidak perlulah nama arwah diburuk-burukkan lagi,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Satim dilaporkan sebagai berkata, semua pilihan raya kecil (PRK) di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih membabitkan kematian wakil rakyat daripada Pakatan Harapan, bukan daripada Barisan Nasional.

Beliau didakwa berkata, Allah SWT memberi amaran sejak PRK Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

 


Pengarang :