NASIONALPENDIDIKAN

Kementerian Pendidikan nafi hanya tumpu pembangunan sekolah Cina

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan kononnya hanya memberi penekanan kepada pembangunan sekolah Cina, di negara ini.

Kementerian itu dalam kenyataan semalam berkata, peruntukan melalui Belanjawan 2019 memberi fokus kepada pembangunan sekolah khususnya aliran Sekolah Kebangsaan (SK).

“Laporan media sosial yang memberi gambaran seolah-olah kementerian hanya memberi penekanan kepada pembangunan sekolah Cina berdasarkan beberapa pengumuman dibuat Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching adalah tidak benar.

“Dalam kes yang dipertikaikan beberapa pihak, peruntukan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan kebelakangan ini adalah peruntukan yang diluluskan untuk tahun 2018 dan bukan peruntukan tahun 2019,” katanya.

Katanya, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sendiri sudah mengemukakan permohonan kepada Menteri Kewangan bagi mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara SK dan Sekolah Agama Negeri.

Justeru, tanggapan kononnya Menteri Pendidikan tidak mengambil beratberkenaan kebajikan murid dan sekolah khususnya SK dan Sekolah Agama Negeri adalah tidak berasas.

“Selain peruntukan besar untuk menyelenggara dan membaiki sekolah bagi tahun 2019, kerajaan sudah memperuntukkan RM128 juta untuk membangun dan menaik taraf sekolah daif di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menggunakan peruntukan pembangunan kementerian tahun 2019.

“Berkenaan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina yang berjumlah RM12 juta, Kementerian sekali lagi menegaskan ia bukan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan sebaliknya disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan,” katanya.


Pengarang :