GLOBALSUKANKINI

Kepa-Sarri anggap insiden Piala Liga ‘salah faham’?

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 25 FEB: Insiden keengganan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga mengikuti arahan Pengurusnya, Maurizio Sarri untuk digantikan dengan penjaga gol gantian, Willy Caballero pada perlawanan akhir Piala Liga (EFL), bertemu Manchester City semalam masih menjadi bualan hangat di media sosial.

Ini kerana, reaksi dipamerkan Kepa dan Sarri nyata mencetuskan pertikaian kerana kedua-dua pihak enggan mengalah ketika perlawanan masuk di minit akhir babak kedua masa tambahan.

Segalanya bermula apabila Kepa menerima rawatan kali kedua kerana mengalami kecederaan peha selepas menyelamatkan percubaan Sergio Aguero pada minit ke-118 permainan.

Melihat keadaan itu, Sarri meminta Caballero bersedia untuk menggantikan Kepa memandangkan Chelsea akan mengharungi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan sepanjang permainan.

Bagaimanapun, Kepa memberikan isyarat bagus dan tidak perlu menggantikannya tetapi Sarri memberikan reaksi sebaliknya selepas kecewa penjaga gol itu enggan mematuhi arahan.

Insiden itu memaksa pengadil, Jonathan Moss meminta penjelasan daripada Kepa dan Sarri sebelum memutuskan tiada pertukaran pemain serta perlawanan diteruskan.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Sarri menyatakan insiden itu sebagai ‘salah faham besar’ dan beliau hanya menyedarinya selepas pasukan perubatan kembali ke bangku simpanan pasukan.

Kepa dalam kenyataannya pula menjelaskan, tindakan beliau bukan bermaksud mahu mengingkari arahan Sarri tetapi hanya ingin memberitahu keadaannya baik untuk meneruskan perlawanan.

Pertukaran penjaga gol pada penghujung masa tambahan sebelum ini pernah berlaku dalam aksi suku akhir Piala Dunia Brazil 2014 ketika pertemuan Belanda dan Costa Rica.

Tim Krul masuk bagi menggantikan Jasper Cillessen memandangkan Belanda terpaksa mengharungi penentuan sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir.

Perubahan taktikal oleh Jurulatih Belanda, Louis van Gaal nyata berbaloi apabila Krul berjaya menyelamatkan dua sepakan bagi membolehkan ‘The Oranje’ menang penentuan sepakan penalti 4-3 ke atas Costa Rica.

Berbeza mengenai situasi Kepa, beliau hanya berjaya menyelamatkan sepakan Leroy Sane selain kegagalan dua rakan sepasukan, Jorginho dan David Luiz menyempurnakan penalti menambah kekecewaan Chelsea sekaligus memberikan kejuaraan buat skuad Pep Guardiola dengan keputusan 4-3 memihak Manchester City.

 

Kredit Foto: The Telegraph


Pengarang :