SELANGOR

Keracunan makanan, kantin SK (2) Taman Keramat diarah tutup

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kantin Sekolah Kebangsaan (2) Taman Keramat, di sini, diarah tutup ekoran 49 pelajar sekolah terbabit mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas bersarapan di situ pada waktu rehat, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini, 22 kes menerima rawatan pesakit luar manakala 27 kes hanya mengalami gejala ringan dan tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Kesemua kes adalah stabil dan tiada kemasukan ke wad. Kejadian keracunan makanan ini adalah terkawal serta tiada kes baharu dilaporkan.

“Siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk mengenal pasti punca sebenar keracunan makanan terbabit.

“Sampel pengendali, makanan dan sampel persekitaran sudah diambil untuk tujuan analisa makmal dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kantin sekolah ditutup di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan satu notis di bawah Peratuan 32(1)(b), Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 sudah dikeluarkan kepada pengendali makanan.

Katanya, pengendali makanan turut dinasihatkan untuk sentiasa memastikan pengendalian makanan mengikut tatacara keselamatan makanan, memastikan kebersihan diri serta premis makanan dan persekitarannya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan dan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan.

“Sentiasa amalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas menggunakan tandas serta sebelum dan selepas makan,” katanya.

 


Pengarang :