NASIONAL

Kerajaan keluar garis panduan kekang kebocoran rahsia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan mengeluarkan arahan larangan bagi penggunaan telefon bimbit dan beberapa peralatan komunikasi dalam mesyuarat kerajaan.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Datuk Sanusi Sidek berkata, hal itu bagi mengelakkan kebocoran perkara rahsia dan keselamatan negara.

Katanya, penggunaan telefon bimbit dan alat komunikasi lain secara tidak terkawal dalam agensi kerajaan boleh mendatangkan implikasi buruk.

“Ia juga membahayakan di samping boleh melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 sekiranya berlaku kebocoran atau kecurian maklumat.

“Penggunaan peralatan terbabit tanpa kawalan juga mempunyai pelbagai implikasi negatif seperti penyalahgunaan mengumpul, merakam, menyiar, menular dan menyampaikan maklumat kerajaan kepada pihak lain tanpa kebenaran,” katanya dalam surat bertarikh 31 Januari itu.

Sanusi berkata, mengikut kepada situasi masa kini, trend penyebaran atau kebocoran maklumat kerajaan menerusi telefon bimbit semakin membimbangkan.

Justeru, katanya, bagi tujuan kawalan, ketua jabatan hendaklah menentukan zon larangan penggunaan peralatan komunikasi yang mampu merakam maklumat.

“Di samping itu, ketua jabatan juga perlu menetapkan kaedah penggunaannya bagi memastikan maklumat rahsia rasmi kerajaan diberikan perlindungan sepenuhnya.

“Penentuan zon larangan ini termaktub dalam Perenggan 130, Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017) dan perlu dipatuhi semua jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, keperluan penetapan zon atau tempat larangan berkenaan perlu mengambil kira risiko kebocoran maklumat yang berkemungkinan berlaku dalam mesyuarat penting kerajaan membabitkan keputusan dasar di peringkat Persekutuan atau negeri.

Sanusi berkata, antara mesyuarat yang dikelaskan sebagai berisiko itu ialah mesyuarat Kabinet, mesyuarat EXCO, berkaitan keselamatan negara, dasar luar yang memberi impak tinggi kepada keputusan kerajaan, mesyuarat pengurusan tertinggi kementerian, jabatan atau agensi; mesyuarat lembaga perolehan tender atau sebut harga dan operasi penguatkuasaan.

“Kegagalan mematuhi larangan dikuatkuasakan boleh mengakibatkan rahsia rasmi kerajaan terdedah kepada ancaman kebocoran maklumat sehingga boleh menjejaskan imej pentadbiran kerajaan dan keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, isu kerahsiaan itu dibangkitkan oleh Polis Diraja Malaysia menerusi surat Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman kepada Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini yang disifatkan semakin membimbangkan.

Selain larangan telefon bimbit, peralatan lain yang disebut dalam surat berkenaan ialah kamera digital, jam pintar, perakam video dan pen pintar.


Pengarang :