SELANGOR

Kerajaan Negeri fokus bela nasib semua kaum

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 17 FEB: Kerajaan Negeri sentiasa fokus membela nasib semua kaum di Selangor sekali gus menolak sebarang isu perkauman yang ditimbulkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri teguh dengan pendirian membela nasib semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Saya bangga apabila Kerajaan Negeri menjadi sebuah kerajaan yang memang menjaga nasib semua kaum dan agama malah ia bukan sekadar retorik semata-mata.

“Walau terdapat pihak yang cuba menimbulkan isu perkauman, namun Kerajaan Negeri terus kekal dengan prinsip menjaga keharmonian kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Perayaan Hari Ponggal 2019 peringkat Selangor di Kuil Sri Srinivasa Perumal Devasthanam, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, beliau turut berbangga apabila pentadbiran di Selangor turut menjadi modul kepada negeri lain.

“Kita dapat lihat rakyat Malaysia secara amnya begitu gembira dengan pentadbiran Selangor,” katanya.


Pengarang :