SELANGOR

Kerajaan Negeri komited perkasa program agro bandar

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 10 FEB: Kerajaan Negeri komited mahu memperkasakan program agro bandar bertujuan memberi peluang kepada agropreneur khususnya di Selangor untuk menambah pendapatan menerusi sektor terbabit.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, agropreneur boleh memanfaatkan kawasan sempit terutama di bandar dengan menggunakan teknologi moden seperti hidroponik atau ‘vertical farming’ bagi menghasilkan tanaman.

“Agropreneur digalakkan memanfaatkan tanah yang ada di sekitar bandar dengan menghasilkan tanaman menggunakan teknologi moden sekaligus menjana pendapatan lumayan menerusi sektor itu.

“Selain itu, kita juga bercadang mahu laksanakan program agro bandar ini secara lebih meluas di kebun komuniti setiap pihak berkuasa tempatan kerana ia turut memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Selangor Agro Market dan Pelancaran Agro Bandar peringkat Hulu Langat di Taman Pelangi Semenyih, di sini, semalam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM32.6 juta bagi hasil dan pendapatan agropreneur dalam sektor pertanian yang meliputi bidang tanaman, penternakan, nelayan dan juga akuakultur serta industri asas tani.

Kerajaan Negeri amat komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian ini bukan sahaja sekadar sumber ekonomi sampingan tetapi memartabatkannya sebagai satu sektor yang akan menjadi peneraju ke arah menjadikan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.

Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan melalui insentif dan projek pertanian berimpak tinggi yang boleh meningkatkan hasil serta pendapatan golongan agropreneur serta menarik minat lebih ramai generasi muda untuk berkecimpung dalam sektor pertanian dengan menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.


Pengarang :