Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri nafi lewat bantu mangsa ribut

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

TANJONG KARANG, 22 FEB: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan sengaja melewatkan pemberian bantuan kepada mangsa terjejas dalam bencana ribut wettan di sembilan kampung di sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri adalah kerajaan yang ‘peduli rakyat’ dan sentiasa peka, sensitif serta mengambil peduli terhadap kebajikan rakyat.

“Ini bukanlah satu kelewatan kerana Kerajaan Negeri perlu memastikan tiada seorang mangsa pun yang tercicir daripada menerima bantuan.

“Untuk pembaikan bagi kerosakan sederhana, kerosakan serius dan pembinaan semula, proses terbabit akan dilaksanakan selewatnya minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu merujuk kepada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang menjadikan isu berkenaan sebahagian daripada agenda politik dan terus menyalahkan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan dilaporkan berkata, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari diberi tempoh seminggu bagi melaksanakan kerja baik pulih dan membina rumah baharu kepada penduduk di sembilan kampung yang mengalami kerosakan teruk.

Sehubungan itu, Rozana berkata, Dato’ Menteri Besar juga turun padang menyantuni dan melawat ke beberapa buah rumah terjejas teruk akibat bencana itu pada 13 Februari lalu, selain bersetuju menyalurkan sumbangan kepada mangsa terbabit.

“Pada 19 Februari lalu, semua 183 pemilik rumah terbabit menerima sumbangan RM500 daripada Kerajaan Negeri dan RM300 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Kerajaan Negeri menyumbangkan sejumlah RM1,829,400 hasil daripada Unit Bencana Negeri (UBN), Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan LZS.

“Jumlah ini tidak termasuk sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan menyalurkan terus sumbangan kepada akaun bank mangsa yang terbabit mengikut kategori kerosakan. Dianggarkan hampir RM1.9 juta sumbangan keseluruhan untuk mangsa ribut ini,” katanya.

 


Pengarang :