SELANGOR

Kerajaan Negeri tegas tangani isu pendatang asing jadi ‘tauke’

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 16 FEB: Kerajaan Negeri akan berusaha menangani lambakan pendatang asing yang menjadi ‘tauke’ serta memiliki premis perniagaan secara haram di beberapa lokasi sekitar Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penguatkuasaan sepanjang 2019 akan dilakukan dengan lebih tegas selain berharap kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat berhubung perkara itu.

“Buat masa ini kita akan membuat pemantauan serta penguatkuasaan ke atas premis milik Kerajaan Negeri, dan kebanyakan kes kita dapati orang tempatan sendiri yang bersengkongkol dengan pendatang asing ini sehingga membolehkan mereka berniaga di premis-premis sebegini.

“Ia tidak boleh dilakukan sesuka hati sebegini, dan saya amat berharap supaya aduan berkaitan akan terus disalurkan supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Dialog Jelajah Maju Bersama dengan pemimpin masyarakat Daerah Hulu Langat bertempat di Pejabat Hulu Langat, malam tadi.

Turut hadir EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Sebelum itu Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Thiagarajah Rajagopal ketika sesi soal jawab berkata, pihaknya mendapati warga asing semakin berleluasa di Hulu Langat sehingga memiliki pelbagai jenis premis.

Katanya, malah penduduk setempat mengadu ada diantara pendatang asing ini yang menjalankan perniagaan gunting rambut dan kedai makan sehingga dikhuatiri tidak mempunyai lesen yang sah.

“Disebabkan itu warga tempatan yang tidak mahu mengunjungi premis pendatang asing ini, namun hal yang lain pula timbul apabila hanya golongan yang sama memenuhi premis terbabit sehingga memperlihatkan mereka sahaja menguasai tempat berkenaan.

“Saya berharap supaya Kerajaan Negeri segera menangani isu ini secepat mungkin,” katanya.


Pengarang :