NASIONAL

Kerajaan perlu sedia terima kritikan rakyat – MB

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Kebebasan media diperlukan dalam sesebuah negara dan Kerajaan perlu bersedia memikul tanggungjawab terhadap semua keputusan yang dibuat selaras dengan semangat demokrasi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pentadbiran Kerajaan tidak boleh meminggirkan sebarang kumpulan khususnya golongan minoriti sebaliknya bertindak secara adil kerana politik sentiasa membabitkan keputusan sukar kepada semua.

“Kita mesti mempunyai media yang bebas dan bersedia menghadapi kritikan dengan mengambil tanggungjawab terhadap keputusan dan tindakan kita.

“Kita tidak boleh mendiskriminasi kumpulan minoriti berdasarkan perbezaan budaya dan etnik. Kita sebagai wakil kerajaan mesti mentadbir semua; minoriti dan majoriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Meraikan Demokrasi Di Malaysia anjuran Badan Pembaharuan Asia Tenggara (FORSEA) Kuala Lumpur, di Publika.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Menurutnya, isu seperti jurang pendapatan, hak penjagaan kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan perlu ditangani supaya semua pihak mendapatkan hak yang adil.

Amirudin berkata, Selangor mengambil langkah untuk menjadi sebuah ‘Negeri Keusahawanan’ demi memastikan tiada pihak ketinggalan di saat Kerajaan berusaha memajukan ekonomi secara bersama.

“Untuk mencapai itu, kita perlu merangsang segala usaha kami dalam menghasilkan pencipta nilai dan menghapuskan nilai ekstraktor dari ekonomi kita.

“Kita memerlukan lebih ramai usahawan, kita memerlukan ekosistem perusahaan kecil dan sederhana yang lebih bersemangat, mengurangkan halangan pasaran, meningkatkan capaian kemudahan bagi mewujudkan ekonomi yang lebih menarik untuk rakyat,” katanya.


Pengarang :