NASIONAL

Kes baharu pengubahan wang haram Najib dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta, telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi, yang turut dihadiri peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Manoj berkata, pada 11 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes dihadapi mantan Perdana Menteri itu dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun tarikh sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi masih belum ditetapkan.

Hakim Azura kemudiannya memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pada 8 Februari lalu, Najib, 66, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini dengan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang adalah hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan semua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan menetapkan 13 Mac depan untuk pengurusan kes Najib, yang berdepan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta selepas Peguam Negara Tommy Thomas memohon tarikh berkenaan ketika sebutan kes itu, hari ini.

Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa rayuan Najib telah ditetapkan untuk pendengaran pada 11 dan 12 Mac ini di Mahkamah Rayuan.

Pada tarikh berkenaan, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung perintah larangan ke atas media untuk membincangkan merit kes jenayah beliau; penzahiran dokumen dan pernyataan serta tindakan beliau mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International.

Mahkamah Rayuan juga akan mendengar rayuan Najib ke atas penarikan balik sijil pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :