SELANGOR

Kes Chikungunya di Tanjung Sepat terkawal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Kes penyakit Chikungunya yang berlaku di kawasan Tanjung Sepat ketika ini masih terkawal.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah mengambil langkah awal menangani penyakit berkenaan.

Katanya, antara langkah yang diambil membabitkan taklimat pencegahan dan semburan kabus di seluruh kawasan terbabit selain mengedarkan risalah dan ubat jejentik.

“Setakat ini, terdapat 11 kes sehingga 31 Januari lalu dan keadaan itu masih terkawal.

“Kita juga akan mengadakan gotong royong besar-besaran bersama Jabatan Kesihatan dan penduduk sekitar,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, satu taklimat berkaitan penyakit itu diadakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat di Kompleks Muhibbah Pekan Tanjung Sepat.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 11 pesakit menghidap penyakit Chikungunya di daerah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat melaksanakan pengesanan kes secara aktif.

Katanya, penyakit itu adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan denggi.


Pengarang :