Selangorkini
EKONOMI NASIONAL

Ketidaktentuan luaran pengaruhi prestasi Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan, ekoran ketidaktentuan hasil rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kini akan merosot kepada paras sokongan yang rendah, pada 1,700-1,710 mata.

“Tahap kebimbangan pelabur semakin meningkat yang hampir dengan tarikh akhir 1 Mac ekoran ia mempunyai potensi membawa kepada AS mengenakan tarif ke atas produk China bernilai US$200 bilion, yang dapat dielakkan jika dua kuasa ekonomi dunia itu mencapai kesepakatan.

“Bagaimanapun, ringgit yang lebih kukuh, harga komoditi yang meningkat dan hasil positif daripada rundingan China-Malaysia berkenaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengehadkan sebarang kelemahan sementara dalam pasaran ekuiti tempatan,” katanya kepada BERNAMA.

Katanya, kerjasama ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan China membawa kepada kedua-dua negara meneruskan rundingan berkenaan projek ECRL untuk mencapai keputusan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dengan pengakhiran positif akan meningkatkan sektor infrastruktur sebagai hasil langsung daripada keyakinan yang meningkat daripada pelabur tempatan juga asing.

Dari segi teknikal, katanya, carta FBM KLCI menunjukkan momentum yang menggalakkan, dengan kecenderungan meningkat kekal kukuh melebihi paras 1,700 dan halangan terdekat yang teguh, pada 1,750 mata.

Pada minggu ini, FBM KLCI mencatatkan peningkatan sejajar dengan ekuiti serantau dan melepasi paras 1,700 pada Selasa berikutan pelabur optimis dengan pusingan rundingan perdagangan terkini antara China dan Amerika Syarikat yang akan membawa kepada perjanjian untuk menyelesaikan perang tarif mereka.

FBM KLCI sebelum ini meningkat melebihi paras 1,700 pada 26 Nov tahun lepas, apabila ia mencecah 1,701.99.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI ditutup 32.59 mata lebih tinggi kepada 1,721.42.

Indeks FBM Emas naik 252.23 mata kepada 12,002.50, Indeks FBMT 100 menambah 245.98 mata kepada 11,858.88 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 289.51 mata kepada 11,953.11.

FBM 70 menokok 387.27 mata kepada 14,415.46 dan Indeks FBM Ace meningkat 68.89 mata kepada 4,715.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 208.16 mata kepada 17,840.72, Indeks Perladangan meningkat 77.67 mata kepada 7,413.10 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 4.90 mata kepada 168.03.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.75 bilion unit bernilai RM12.61 bilion daripada 14.85 bilion unit bernilai RM9.78 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 10.84 bilion saham bernilai RM11.56 bilion daripada 11.05 bilion saham bernilai RM8.99 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 3.10 bilion unit bernilai RM683.63 juta daripada 2.27 bilion unit bernilai RM480.02 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.80 bilion saham bernilai RM366.49 juta daripada 1.52 bilion saham bernilai RM305.71 juta.

 


Pengarang :