NASIONAL

Khalid: KWP giat usaha warta taman awam

PUTRAJAYA, 10 FEB: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang mempergiatkan usaha untuk mewartakan taman awam di seluruh negara yang merangkumi sekurang-kurangnya keluasan 101 hektar di setiap negeri.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu dilakukan melalui Jabatan Landskap Negara di bawah KWP bagi mengekalkan dan melindungi taman itu agar boleh dikunjungi warga tempatan.

Katanya, usaha ini termasuk mewartakan Taman Awam Berskala Besar iaitu Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 149 hektar di Kuala Lumpur.

“Kita hendak wartakan supaya kita dapat mengekalkan dan melindungi kawasan ini yang mana setiap negeri akan ada taman yang boleh dikunjungi oleh rakyat negeri masing-masing.

“Ia adalah satu proses berterusan dan sekarang difahamkan Pahang sudah dikenal pasti 101 hektar,” katanya selepas merasmikan Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland Putrajaya, lapor BERNAMA.

Tambahnya, Perbadanan Putrajaya (PPj) merancang Putrajaya dengan pembangunan 13 taman awam dan 10 telah siap dibangunkan.

“Semua taman dibangunkan dengan konsep, tema, karakter dan persekitaran yang tersendiri serta unik menjadikan ianya nadi kepada Putrajaya sebagai Bandar Raya Taman,” katanya.

Katanya, taman awam dibina sebagai pilihan untuk pengunjung dan komuniti Putrajaya khususnya menghabiskan masa santai serta beriadah di hujung minggu dan masa terluang.

Selaras dengan aspirasi ini, Khalid berkata, Putrajaya Park’s Day adalah satu usaha PPj bagi menzahirkan Pelan Strategik Putrajaya 2016-2020 yang menggariskan beberapa teras dalam mencapai visi Ke Arah Putrajaya Mampan 2020.

“Saya menyambut baik inisiatif PPj dalam menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan unggul dan berdaya saing melalui pembangunan produk pelancongan,”katanya.

Hampir 3,000 pengunjung memeriahkan program Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland termasuk larian SHERUN dengan jarak 3 kilometer (km), 5km dan 8km.


Pengarang :