GLOBALSUKANKINI

Klopp puas The Reds bangkit

LIVERPOOL, 10 FEB: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berpuas hati dengan persembahan pasukannya ketika menewaskan Bournemouth 3-0 di Anfield, untuk kembali memimpin liga mengatasi Manchester City.

Selepas 26 perlawanan, The Reds mengumpul 65 mata manakala City (62 mata) di tempat kedua dengan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris terus sengit dan dijangka berlarutan hingga penghujung musim.

Kemenangan ke atas Bournemouth amat penting bagi Liverpool selepas sebelum ini dipaksa seri dalam perlawanan menentang West Ham United dan Leicester City.

Klopp berkata, pemain membuktikan kemampuan untuk kembali mencipta kemenangan dalam perlawanan itu.

“Kami mempunyai jangkaan yang tinggi (terhadap perlawanan) dan kami menang dengan cara hebat, kami mempamer aksi cemerlang di padang.

“Kami mahu menunjukkan reaksi, tugas kami bukan hanya untuk menang tetapi untuk melaksanakan dengan yakin,” kata Klopp, lapor BBC.

Liverpool memperoleh jaringan menerusi Sadio Mane, Georginio Wijnaldum dan Mohamed Salah untuk kemenangan selesa 3-0 mengatasi skuad kendalian Eddie Howe itu.

Dengan kemenangan itu, Kloop berharap Liverpool terus mengekalkan momentum bagi memburu kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi pada 29 tahun lalu.

 


Pengarang :