SELANGOR

KOA Batu 28 Jenderam lokasi pertama Ziarah Asnaf LZS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 3 FEB: Kampung Orang Asli (KOA) Batu 28 Jenderam Hilir, di sini, menjadi lokasi pilihan pertama Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi pelaksanaan program ziarah asnaf dan bacaan yasin serta solat hajat, pada tahun ini.

Jurucakap LZS dalam kenyataan memaklumkan, program itu membabitkan kerjasama Operasi Agihan Daerah Sepang dan Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir termasuk Penggerak Masyarakat Orang Asal.

Katanya, seramai 10 asnaf fakir miskin dan asnaf mualaf dari kawasan terbabit terpilih untuk diziarahi dalam program berkenaan.

“Ini adalah program tahunan bagi Operasi Agihan Daerah Sepang bertujuan mendekati dan menyantuni masyarakat asnaf di perkampungan terpilih untuk diziarahi.

“LZS mengambil inisiatif program ini sebagai salah satu cara mendekati asnaf dengan lebih dekat untuk mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka,” katanya.

LZS berkata, perjalanan program ziarah seumpama itu memberi satu perasaan hiba yang sukar digambarkan terhadap kepayahan dan kesusahan dilalui asnaf.


Pengarang :