SELANGOR

Komuniti Seksyen 8 buktikan di bandar boleh bertani

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 FEB: Kebun Komuniti seluas 2.4 ekar diwujudkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memastikan bandar raya itu dipenuhi kawasan hijau selain menyediakan ruang aktiviti untuk komuniti setempat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, Program Pertanian Bandar di bawah rintisan talian TNB, di Kolam Tadahan, Jalan 8/3, Seksyen 8, adalah program bandar mampan dilaksanakan pihaknya.

Katanya, sehingga kini sebanyak 63 batas tanaman atau plot diusahakan secara beramai-ramai bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan Persatuan Penduduk Seksyen 8 Timur membabitkan 40 ahli.

“Pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran ditanam antaranya sawi, bayam, kangkung, cili, terung, bendi, timun, tomato, peria, kacang botol, jagung, ubi keledek, ubi kayu, lengkuas, kunyit dan lemon.

“Tanaman ini akan dituai atau disemai selepas mencapai tempoh matang kelak,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi turut berkesempatan melawat Kebun Komuniti itu bersama penduduk setempat.

Shahrin berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai keperluan dan kelengkapan bagi mengusahakan Kebun Komuniti itu termasuk pembelian benih tanaman, baja, pemasangan saliran air dan penyediaan peralatan tanaman seperti cangkul.

“Peranan penduduk sekitar terhadap Kebun Komuniti adalah memastikan tanaman diselenggara dengan baik dan sentiasa disiram mengikut waktu, menggembur serta membaja tanah, membersihkan rumpai selain memastikan kawalan penyakit juga serangga perosak dikawal secara semulajadi.

“Penduduk perlu memastikan plot atau batas sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur, merumpai atau mencabut rumput di batas tanaman serta memastikan kebun tidak diserahkan atau ditukar milik mahupun dijual kepada pihak luar,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap, Program Pertanian Bandar dapat menjadi medium kepada komuniti setempat untuk berekreasi dan berkomunikasi antara satu sama lain, sekali gus menjadi program mampan yang berterusan.


Pengarang :