NASIONAL

KPDNHEP kompaun 7 peniaga ambil kesempatan

SHAH ALAM, 6 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam megenakan kompaun kepada tujuh peniaga yang dikesan mengambil kesempatan meraih keuntungan lebih sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Memetik BHOnline, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, empat daripadanya membabitkan penggunaan alat timbang tamat tempoh, manakala tiga kes lagi tidak meletak tanda harga.

Katanya, perkara itu dikesan sepasukan 60 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor yang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di premis perniagaan di negeri ini, pada hari pertama perayaan berkenaan.

“Pemeriksaan bertujuan memastikan bekalan barangan asas mencukupi bagi kegunaan pengguna, terutama ketika cuti umum dan kita mahu peniaga mematuhi harga siling ditetapkan ke atas 13 jenis barangan harga terkawal bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (SKHMPTBC).

“Premis perniagaan yang diperiksa bermula jam 8 pagi itu antaranya pasar utama, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong.

“Hasil pemeriksaan ke atas 397 premis semalam, tujuh peniaga didapati melanggar peraturan ditetapkan dan dikenakan kompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu menjadi pengguna bijak dengan membuat perbandingan ketika membeli barangan keperluan.

“Jika mengesan wujud kesalahan peniaga, mereka boleh menyalurkan aduan melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my,” katanya.

 


Pengarang :