SELANGOR

Kumpul buku terpakai untuk anak gelandangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 23 FEB: Persatuan Pustaka Jalanan mengumpul buku terpakai daripada orang ramai yang masih elok untuk disumbangkan kepada anak gelandangan.

Naib Setiausahanya, Hafiza Fadzil berkata, pihaknya menyasarkan pemberian buku terpakai itu kepada golongan kurang berkemampuan bagi mewujudkan perasaan seronok apabila membaca buku secara percuma.

Katanya, usaha yang dijalankan bersama ahli kumpulannya itu dilaksanakan, sejak dua tahun lalu.

“Kami mahu buku yang sudah tidak dibaca ini tidak dibuang begitu sahaja dan hasil pemerhatian mendapati anak gelandangan ini begitu gembira.

“Apa yang menyedihkan ialah ada di antara mereka yang tidak mampu membaca dengan baik, namun melalui program ini, ia sekurang-kurangnya memberi semangat dan harapan kepada mereka untuk terus cuba membaca,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika program pemberian buku percuma pada Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Lembap Sedunia Daerah Kuala Selangor 2019, di Taman Alam Kuala Selangor, hari ini.

Pada acara itu, Persatuan Pustaka Jalanan dengan kerjasama Ecofreemarket turut memberikan lebih 200 buku dan majalah kepada pengunjung secara percuma.

Hafiza berkata, orang ramai yang ingin menyumbang buku mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi ahli Persatuan Pustaka Jalanan melalui facebook Readnow Street Library.

“Anda juga boleh terus membawa buku terbabit di kesemua cawangan Menara Optometry seluruh negara termasuk Bangi, Klang, Kelana Jaya, Serdang, Alamanda dan Melaka.

“Kami berharap melalui aktiviti sebegini, ia mampu mewujudkan suasana lebih sihat dalam kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.


Pengarang :