SELANGOR

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor puji inisiatif Smart Selangor

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 FEB: Smart Selangor Command Centre (SSCC) semalam menerima kunjungan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor bagi memberi penerangan berhubung inisiatif Smart Selangor, di negeri ini.

Kunjungan julung kali yang disertai delegasi seramai 19 orang dengan diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Noorazam Dato’ Osman itu menerima penerangan daripada Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

Turut serta adalah Pengarah Projek dan Pembangunan Perniagaan SSDU, Mazlan Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

Mohd Noorazam berkata, pihaknya tertarik melihat pasukan analitik data SSDU membuat pemantauan dan analisis yang boleh dijadikan panduan.

Katanya, Selangor disifatkan sebagai negeri yang terus ke hadapan dengan agenda Smart State, di Malaysia tanpa melihat contoh luar.

“Pelbagai perkara boleh dipelajari melalui inisiatif Smart Selangor yang dibentangkan seperti Smart Waste Management yang berjaya mengurangkan kos operasi urusan secara keseluruhan,” katanya.

SSCC diwujudkan bagi memantau pengurusan bencana secara menyeluruh, efisien dan pantas di kawasan berkaitan.

Ia termasuk pemantauan kaji cuaca, paras air laut, indeks pencemaran udara, banjir, satelit dan radar cuaca.

 


Pengarang :