Selangorkini
NASIONAL

KWSP tunggu perancangan EAC tentu hala tuju

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menunggu perancangan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang baru ditubuhkan, dalam usaha menentukan hala tuju masa depan lebih jelas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya optimis EAC dapat mengetengahkan hala tuju dasar lebih baik, termasuk membabitkan kebergantungan negara terhadap komoditi serta pelan kepelbagaian ekonomi.

“Kami amat gembira dengan pelbagai perancangan hebat yang akan dihasilkan EAC dan mahu melihat maklum balas kerajaan berhubung Revolusi Industri 4.0,” katanya lapor BERNAMA.

Pada masa sama, katanya, KWSP akan menjalin kerjasama dengan pengurus dana luar dalam usaha menembusi pasaran Amerika Latin yang juga sebahagian daripada langkah mempelbagaikan portfolionya di peringkat luar negara.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan dilakukan secara melulu, sebliknya menyasarkan untuk memasuki pelaburan lebih kecil, pada masa ini.

“Kami amat mengenali pasaran ini kerana berada di dalamnya dan teruja serta berminat dengan pasaran ASEAN, namun ini semua bergantung kepada nilai pelaburan yang terbabit.

“Pada masa ini, 4.8 peratus daripada jumlah aset itu dilabur di ASEAN dengan pendedahan pelaburan yang besar di Singapura,” katanya.

Mengulas pelaburan KWSP di United Kingdom, Tunku Alizakri berkata, dana itu optimis terhadap potensinya sebagai destinasi pelaburan walaupun negara itu berdepan ketidaktentuan membabitkan kesan Brexit.

Secara keseluruhan, KWSP sudah melabur RM222.61 bilion atau 26.7 peratus daripada jumlah aset dana simpanan persaraan itu di kira-kira 40 negara bagi mempelbagaikan portfolionya.

Pada 2018, KWSP mencatat pendaftaran pelaburan kasar RM50.88 bilion dengan aset pelaburan RM833.76 bilion, manakala carumannya meningkat 9.08 peratus kepada RM71.47 bilion, pada tahun lalu sementara pengeluaran pula berkurangan kepada RM48.10 bilion daripada RM49.40 bilion, pada 2017.


Pengarang :