SELANGOR

Lagi premis makanan kotor diarah tutup

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 FEB: Sebuah restoran yang menyajikan makanan tempatan di Seksyen 7, di sini, diarah tutup selama dua minggu berkuat kuasa serta merta selepas didapati beroperasi dalam persekitaran kotor.

Notis penutupan premis terbabit dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNKK) Selangor, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, operasi itu membabitkan dua premis di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, sebuah premis sudah diarahkan tutup di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kami turut mengeluarkan lima notis pemberitahuan dan lima kompaun dikeluarkan.

“Satu kompaun membabitkan kesalahan iaitu tiada suntkan TY2 (anti-typhoid) dan kesalahan ini mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MBSA 2007.

“Tiga kompaun membabitkan kesalahan membuang sisa makanan ke dalam longkang awam, tidak menggunakan tong sampah ditetapkan dan tandas tidak diselenggara dengan baik mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan.

“Satu kompaun pula dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan kerana menggunakan lorong belakang sebagai tempat penyediaan makanan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi itu secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis makanan, terutama di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat ditetapan.

“Kami berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan dan mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid (TY2), menghadiri kursus pengendalian makanan selain mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan,” katanya.

Sehingga 21 Januari lalu, pihak berkuasa tempatan itu sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 68 premis dan tiga premis sudah ditutup.


Pengarang :