PBTSELANGOR

Lebih 3,000 meriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 FEB: Lebih 3,000 orang memeriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program itu adalah inisiatif ke arah mempromosikan gaya hidup sihat selain mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang boleh mencemarkan alam sekitar.

“Program ini juga selaras dengan hala tuju MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Turut diadakan aktiviti riadah seperti berbasikal, berjalan kaki, senamrobik, senaman taichi, persembahan pentas oleh kombo MBSA dan pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, orang ramai turut mengambil peluang mencuba permainan wall climbing, senaman Taichi, Mobile Library, Shah Alam On Wheels, Food Truck, chu chu train, Klinik Frisbee, Hydro Gel Games, Futsal On 3 dan Fruit Eating Challenge.

“Menariknya, mereka turut menyertai Pertandingan Pakaian Beragam Terbaik membabitkan dua kategori iaitu Kategori Keluarga dan Individu.

“Selain itu, program bual santai Jom Picnic Dhuha bertajuk ‘Sembang Santai Penghijrahan’ bersama Mel Wings dan Amira Ann Lee serta Program Eco Free Market turut diadakan.

“Manakala, majlis pelepasan larian pula disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan,” katanya.


Pengarang :