SELANGOR

Lebih 7,000 peserta Malaysia Women Marathon 2019

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 20 FEB: Lebih 7,000 peserta dijangka menyertai Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 edisi ke tujuh di Padang Timur, di sini, pada 3 Mac depan.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu larian 42 kilometer (KM), 21 km, 10 km dan 5 km.

Katanya, peserta berpeluang meraih wang tunai RM28,200 dalam cara tahunan yang dilaksanakan sempena Hari Wanita Sedunia yang diadakan setiap 8 Mac itu.

Hadir sama, Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Noorul Ashikin berkata, penganjuran larian itu juga sebagai usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai salah sebuah destinasi pelancongan dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Katanya, ‘sports tourism’ juga dapat dipertingkatkan dan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara khususnya perniagaan hospitaliti.

Pada masa sama, katanya, bagi memperingati tema MWM 2019, karya seni ‘Ode to Women’ oleh Habshah Abang Saufi dipilih untuk didedikasi ke atas t-shirt acara berkenaan.

“Ia menandakan semangat perpaduan dalam menyokong pemberdayaan wanita yang dikaitkan dengan kesaksamaan gender,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Swarovski Malaysia dalam penghasilan pingat.

Sejak 2013, larian berkenaan turut disertai pelari Indonesia, Singapura, Filipina dan United Kingdom.

Selain itu, pada 28 Februari hingga 1 Mac, turut diadakan pameran wanita, persembahan budaya, pertunjukkan pentas dan sebagainya termasuk jualan pelbagai jenis barangan dengan cara berbelanja tanpa tunai.

Tourism turut menawarkan pakej khas bagi tempat-tempat pelancongan di Kuala Selangor antaranya Sky Mirror, Bukit Melawati, Sekinchan, makanan laut di Pasir Penambang dan Kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Laluan sekitar akan ditutup bermula jam 2 pagi dan dibuka semula pada 8.30 pagi. Seramai 100 anggota polis dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan ditempatkan di program itu.

Sebanyak 4,000 tempat letak kenderaan disediakan di kawasan sekitar antaranya Amcorp Mall, Jalan Gasing, Taman Jaya, Kompleks MBPJ, Armada Hotel Pinnacle dan Hotel Sheraton.

 


Pengarang :