NASIONAL

Lebih banyak inisiatif akan dibuat PAKATAN bantu rakyat

SEMENYIH, 25 FEB: Lebih banyak inisiatif akan diumumkan kerajaan dalam membantu dan menangani masalah rakyat, selain langkah untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya diumumkan semalam.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan PAKATAN sedang meneliti beberapa inisiatif termasuk berhubung kos sara hidup, harga getah dan kelapa sawit dalam tempoh tidak lama lagi.

“Mereka (pembangkang) mengatakan kita (kerajaan) tidak buat apa-apa. PAKATAN ini macam tidak kisah masalah rakyat, tidak tahu penoreh getah tak dapat duit cukup, kelapa sawit harga jatuh, kemudian soal harga barangan naik dan pelbagai lagi.

“(Sedangkan) dalam (mesyuarat) Kabinet minggu lalu kita bincang apa inisiatif baharu yang kita nak buat supaya rakyat tidak terbeban termasuk dalam soal disebutkan,” katanya ketika berucap pada majlis Rapat Rakyat Semenyih di tapak padang permainan pangsapuri Baiduri Fasa 6 Bandar Tasik Kesuma di sini, malam tadi.

Sebagai contoh, beliau berkata, terdapat cadangan untuk menaikkan harga getah bagi membantu golongan berkenaan.

“Kerajaan belum memutuskan lagi, minggu depan ada mesyuarat Kabinet, kita nak bawa perkara ini,” katanya, lapor BERNAMA.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat perlu menunggu sedikit masa sahaja lagi untuk kerajaan mengumumkan inisiatif bakal diperkenalkan.

Katanya, rakyat tidak seharusnya termakan dengan dakwaan dibuat Barisan Nasional dan UMNO, sedangkan parti itu tidak mampu melaksanakan apa dilakukan kerajaan PAKATAN dalam tempoh lapan bulan pemerintahan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, beliau berkata, berhubung dakwaan seorang tok batin teks ucapan dibacanya pada majlis kempen PH yang dihadiri Muhyiddin di Kampung Sungai Lalang di sini semalam, bukan ditulisnya sendiri.

Muhyiddin berkata, tiada paksaan kepada tok batin berkenaan untuk membaca ucapan dibekalkan kepadanya.


Pengarang :