KOTA BHARU, 15 Feb — Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddid Syed Abdul Rahman diasak pemain pertahanan Kelab Belia Kampung Kadok (KBKK) pada perlawanan persahabatan antara Kementerian Belia dan Sukan Kelantan dengan KBKK sempena majlis Perasmian Padang Bola Sepak Sintetik Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok, hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

Lebih RM20 juta bangun infra sukan di Kelantan

KOTA BHARU, 15 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan lebih RM20 juta, bagi membangunkan dan membaikpulih kemudahan infrastruktur di Kelantan, pada tahun ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, antara kemudahan yang akan dibina ialah beberapa padang sintetik dan menaik taraf Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini.

“Saya juga nak pastikan pada masa hadapan, bila tibanya peluang, kalau boleh kita nak anjurkan Sukan Malaysia (Sukma) di Kelantan.

“Bila anjur Sukma, akan ada pembangunan sukan yang lebih menyeluruh dan lebih banyak dana diperuntukkan seperti yang berlaku di Perak dan Johor.

“Kita juga nak pastikan setiap kawasan di Kelantan ada pembangunan infrastruktur sukan secukupnya dan kita akan mengadakan kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan serta negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Padang Bola Sepak Sintetik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok di sini, hari ini.

Padang sintetik itu, yang mula dibina pada pertengahan 2017 dan siap pada awal tahun ini, menelan belanja RM2.5 juta serta yang pertama dibina di sekolah di negeri ini.

Syed Saddiq berkata, sukan mampu untuk menyatupadukan rakyat tidak kira agama, bangsa atau fahaman politik serta menjadi teras pembangunan di sesuatu kawasan.

“Bagi anak muda pula, mereka akan mempunyai satu tempat baharu untuk bersantai bersama rakan, jadi mereka tak perlu merempit atau hisap gam. Sukan boleh dijadikan tempat mereka berkumpul,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :