BERITA UTAMASELANGOR

LZS serah set fisioterapi bantu warga emas

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEMENYIH, 27 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan zakat berupa set peralatan fisioterapi bernilai RM467,650 kepada lima buah rumah kebajikan warga emas, di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, ia merangkumi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Penyanyang Hani, Pusat Jagaan Siti Nor Aini dan Pusat Jagaan Nur Hasanah.

Katanya, ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 300 warga emas, di keseluruhan pusat jagaan itu.

“Setiap rumah kebajikan menerima set peralatan fisioterapi bernilai RM93,550, di bawah asnaf fisabilillah bagi memberi sokongan kesihatan kepada warga emas yang memerlukan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kajian Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan warga emas pada masa kini berisiko menghadapi kemerosotan fizikal.

Justeru, katanya, rawatan pemulihan seperti fisioterapi perlu dilakukan untuk menambah baik kesihatan golongan itu.

“Atas dasar itulah LZS berpandangan bahawa keperluan peralatan fisioterapi perlu diberikan kepada pusat penjagaan warga emas,” katanya.

Majlis penyerahan disempurnakan Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato’ Abdul Jalil Abdul Rani.


Pengarang :