SELANGOR

LZS tahan muallaf dakwa sakit buah pinggang

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menahan seorang lelaki yang meminta bantuan dengan membawa nota bertulis “Sumbangan derma, saya sakit buah pinggang”, di hadapan pagar Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi.

Berkongsi insiden terbabit di Facebook, LZS berkata, lelaki itu yang juga seorang muallaf tidak menghidap sakit buah pinggang seperti dinyatakan, sebaliknya mengutip derma bagi membolehkannya pulang ke Kelantan.

“Muallaf ini baru keluar penjara, bukan penghidap sakit buah pinggang. (Dia) kutip derma sebab nak balik ke Kelantan.

“Dalam 30 minit berdiri di situ, muallaf ini dapat meraih sekitar lebih RM100 hasil sumbangan jemaah yang datang solat Zohor.

“Kami ambilnya dan bawakan dia ke stesen bas serta belikan tiket untuk pulang terus ke Kelantan, pada malam ini (semalam),” katanya.

LZS berkata, berdasarkan rekod, muallaf itu pernah menerima bantuan kecemasan sebelum ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan mengutip derma serta menipu.

Sehubungan itu, LZS meminta orang ramai segera melaporkan kepada pihaknya jika menemui perkara sama untuk tindakan lanjut.

“Ia bagi membolehkan mereka yang layak dapat terus dibantu, (manakala) yang menipu dapat diambil tindakan,” katanya.


Pengarang :