SELANGOR

LZS terap 100 asnaf dengan ilmu perniagaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 1 FEB: Seramai 100 peserta terdiri daripada asnaf fakir dan miskin, dari daerah ini menyertai Taklimat Peluang Perniagaan anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS), di Masjid Puncak Alam, di sini, semalam.

Program julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Bandar Puncak Alam dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).

Jurucakap LZS dalam kenyataan memaklumkan, taklimat berkenaan memberi peluang terutama kepada asnaf fakir miskin berminat menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan sampingan keluarga.

“Peserta diberi penjelasan secara menyeluruh berkaitan prosedur permohonan bantuan modal yang disediakan di bawah LZS, selain memahami penerangan produk atau projek usahawan untuk pembangunan golongan ini.

“Malah, ia juga memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman sepanjang menyertai taklimat, selain sesi soal jawab dan bertukar pandangan antara satu sama lain,” katanya.

LZS berharap melalui program seumpama itu bakal melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan asnaf fakur dan miskin.


Pengarang :