SELANGOR

LZS ziarah Kampung Jenderam Hilir bantu asnaf

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan lawatan ziarah asnaf, solat hajat dan bacaan Yassin di Kampung KOA Batu 28 Jenderam Hilir, baru-baru ini.

LZS dalam laman Facebooknya memaklumkan program tahunan bagi Operasi Agihan Daerah Sepang itu bertujuan mendekati serta menyantuni masyarakat asnaf di perkampungan terpilih untuk diziarahi.

Katanya, bagi program ziarah pertama pada tahun ini, Kampung Jenderam Hilir adalah salah satu kampung yang terpilih termasuk s10 orang golongan asnaf Fakir Miskin dan asnaf Muallaf.

“LZS mengambil inisiatif program ini sebagai salah satu cara bagi mendekati asnaf dengan lebih dekat untuk mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka.

“Perjalanan program ziarah ini memberi satu perasaan hiba yang sukar digambarkan terhadap kepayahan dan kesusahan yang dilalui oleh asnaf yang begitu menyentuh perasaan kami,” katanya.

Program ziarah itu diadakan oleh Operasi Agihan Daerah Sepang, Zakat Selangor dengan kerjasama Penolong Amil Kariah, Masjid As-Syakirin Jenderam Hilir serta Penggerak Masyarakat Orang Asli (JAKIM).


Pengarang :