NASIONAL

MAHB rancang naik taraf sistem pengendalian bagasi KLIA

SEPANG, 26 FEB: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merancang untuk menaik taraf sistem pengendalian bagasi (bhs) yang berusia 20 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan memasang teknologi lebih terkini.

“Naik taraf itu bertujuan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penumpang di KLIA,” kata Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Nik Anis Nik Zakaria pada lawatan media di fasiliti pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, hari ini.

Menurut kenyataan MAHB yang diedarkan pada lawatan itu, kerja naik taraf bhs KLIA itu dijangka bermula tahun ini dan dijadual siap dalam tempoh tiga tahun dengan kos dianggarkan antara RM200 juta dan RM300 juta.

Pada ketika ini, purata masa perjalanan bagasi di KLIA dan klia2 melalui laluan automatik masing-masing 17.5 minit dan 12.5 minit.

KLIA dan klia2 mengendalikan 60 juta penumpang tahun lalu dengan 31 juta bagasi melalui bhs di kedua-dua lapangan terbang atau 2.6 juta bagasi sebulan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :