Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
NASIONAL

Mahkamah benar permohonan Muhammad Shafee dapatkan sementara pasport

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), untuk mendapatkan sementara pasportnya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan Muhammad Shafee, 66, selepas peguamnya Rahmat Hazlan memaklumkan tertuduh perlu ke Australia pada 22 hingga 25 Februari ini untuk mengendalikan satu kes jenayah di Sydney.

“Beliau juga akan ke Jakarta, Indonesia untuk satu lagi urusan pada 1 hingga 3 Mac depan,” katanya semasa pengurusan kes itu, lapor BERNAMA.

Muhammad Shafee hadir pada prosiding itu.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

Hakim Collin membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula hari ini sehingga 5 Mac 2019 dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah pada tarikh terbabit.

Pada 13 September tahun lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membabitkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Septtember 2013 dan 17 Februari 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Bagi pertuduhan itu, Muhammad Shafee didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Pengarang :