EKONOMINASIONAL

Malaysia bakal terima pelaburan baharu, semula dari Jepun

PUTRAJAYA, 14 FEB: Malaysia bakal menerima pelaburan baharu dan semula dari Jepun hasil keyakinan pelabur terhadap pentadbiran kerajaan baharu diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking.

Beliau berkata, perkara itu juga hasil hubungan erat Dr Mahathir dengan kerajaan Jepun selain diplomasi dan kerjasama yang turut dieratkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika menemani Perdana Menteri semasa melakukan lawatan kerja ke negara itu.

Dr Mahathir telah melakukan lawatan kerja sebanyak tiga kali ke Jepun sejak memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh pada Mei tahun lalu.

“MITI juga mendapatkan maklumat bahawa hasil dari lawatan terbabit, Jepun bukan sahaja membawa pelaburan baharu bahkan memperbesarkan pelaburan mereka yang sedia ada di Malaysia,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Antara Agensi-Kementerian Luar di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, pengerusi beberapa syarikat besar Jepun yang berada di Malaysia juga memberi jaminan kepada beliau untuk meningkatkan pelaburan sedia ada kerana mereka percaya dengan kerajaan baharu yang ketuai Dr Mahathir.

Darell berkata, hasil lawatan Perdana Menteri itu juga telah berjaya menarik beberapa syarikat terkemuka daripada negara matahari terbit itu untuk membawa pelaburan bernilai bilion ringgit ke Malaysia.

“Salah satunya adalah Japan Lifeline yang akan menjadikan Malaysia sebagai pusat pembekalan ke seluruh Asia Tenggara selain itu Mitsubishi juga sedang menilai potensi pelaburan semula di negara ini selepas melihat kejayaan kerjasama Daihatsu dengan Perodua,” katanya.

Dari segi pelaburan daripada syarikat bersaiz sederhana Jepun pula, beliau berkata, mereka kini juga secara agresif datang ke Malaysia kerana mengetahui bahawa negara kini turut berfungsi sebagai hab logistik untuk rantau ini.

“Selain itu kita turut diingatkan oleh Perdana Menteri untuk tidak hanya melihat nilai pelaburan tetapi juga nilai teknologi yang dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :