Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Queensland.
NASIONAL

Malaysia pantau rapat keselamatan pelajar di India, Pakistan

PUTRAJAYA, 28 FEB: Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar (Wisma Putra) bagi mendapatkan perkembangan berhubung situasi pelajar Malaysia, di India dan Pakistan ekoran konflik dua negara itu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementeriannya sedang menunggu perkembangan terkini melalui pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, di New Delhi serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, di Islamabad.

“Kita masih cuba dapatkan maklumat lanjut berhubung situasi di sana,” katanya selepas menghadiri pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) Semakan Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Pada masa sama, beliau berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan kehadiran universiti berprestij luar negara untuk membuka cawangan, di Malaysia selaras usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.

“Banyak universiti luar negara minat datang ke Malaysia sejak kebelakangan ini dengan dua universiti di Jepun sudah mendapatkan kelulusan permohonan mendirikan cawangan universiti mereka.

“Manakala University of Sheffield dari United Kingdom pula mahu bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :