NASIONAL

Malaysia, Peru jalin kerjasama dalam sektor pelancongan

PUTRAJAYA, 11 FEB: Malaysia hari ini mencapai persetujuan dengan Peru untuk menjalin kerjasama dalam sektor pelancongan terutamanya dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong antara kedua-dua negara.

Persetujuan berkenaan dicapai semasa kunjungan hormat hampir satu jam oleh Duta Peru ke Malaysia, Guido F Loayza ke atas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohamaddin dalam kenyataannya berkata, persamaan dari segi bentuk muka bumi dan cuaca antara Malaysia dan Peru memudahkan kerjasama terjalin.

“Antara produk yang bakal diketengahkan dalam kerjasama Malaysia dan Peru ialah promosi ekopelancongan dan produk kraf, selain kebudayaan.

“Sebagai permulaan Malaysia berbesar hati untuk menawarkan ruang bagi tarian kebudayaan Peru dipersembahkan pada acara kebudayaan yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya, lapor BERNAMA.

Mohamaddin berkata, Peru turut menawarkan peluang untuk Malaysia melakukan persembahan kebudayaan dalam acara yang dianjurkan oleh mereka.

Dalam pertemuan hari ini, katanya, Loayza turut menyatakan bahawa rakyat Peru sangat suka melancong ke Malaysia selain melahirkan hasrat untuk menandatangani perjanjian dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi tujuan promosi bersama.

“Perjanjian yang akan dikendalikan oleh Peruvian Chamber Of Commerce itu nanti boleh membantu mempromosikan Malaysia di Peru,” katanya.


Pengarang :