Pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal, termasuk dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Oktober. Foto: BERNAMA
SUKANKINI

Malaysia rangkul tempat ke-5 Futsal Orang Pekak Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Malaysia menamatkan saingan di tempat kelima Kejohanan Futsal Orang Pekak Asia Pasifik selepas menewaskan China 13-8, pada penentuan kelima/keenam kejohanan berkenaan, di Bangkok, Thailand, semalam.

Pada aksi berkenaan, kapten skuad negara, Mak Chee Weng, meledak lima gol, pada minit ke-16, 19’, 20’, 22’, dan 32′ selain Muhammed Firdaus Sabudin yang melakar empat jaringan, pada minit kelima, 14’,18’ dan 40’.

Haris Kamarudin pula menyumbang jaringan hatrik, pada minit ke-29, 33’,36’ manakala Helmi Mat Sahad, pada minit ke-20.

Pengurus skuad futsal orang pekak negara, Mohd Yusri Abd Ghani menyifatkan kemenangan ke atas pasukan China iti mengubat kedukaan skuad negara yang gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kejohanan berkenaan.

“Kebanyakan pemain mengalami kecederaan termasuk Mak Chee Weng. Beliau mengalami sedikit luka di bahagian lutut semasa menentang Thailand sebelum ini, tetapi saya kira itu semua tidak menjadi halangan kerana saya lihat kesungguhan mereka yang mendorong pasukan ini berjaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pihak swasta dapat membantu menyalurkan dana kepada pasukan berkenaan memandangkan skuad futsal orang pekak negara berdepan kekangan kewangan apabila menyertai kejohanan, di luar negara.

Untuk rekod, Malaysia kalah 3-5, pada aksi pembukaan kumpulan A menentang Kazakhstan, sebelum bangkit meraih dua kemenangan dengan menewaskan Indonesia 6-1, pada perlawanan kedua dan membelasah Mongolia 24-4, pada aksi ketiga.

Mereka bagaimanapun tewas 3-5 kepada Thailand, pada aksi terakhir kumpulan A pada Khamis, sekali gus memusnahkan harapan untuk layak ke separuh akhir kejohanan berkenaan, yang bermula sejak 15 Februari lalu.

Kumpulan B pula membabitkan persaingan juara 2015, Iran, Singapura, Jepun dan China.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :