SUKANKINI

Malindo Air rakan penerbangan rasmi UiTM FC

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Syarikat penerbangan Malindo Air bersetuju menjadi rakan penerbangan rasmi bagi pasukan UiTM FC, sepanjang musim 2019.

Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, tajaan itu membabitkan perjalanan pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia UiTM FC ketika bertandang ke gelanggang lawan.

“Tajaan ini selama setahun untuk kesemua perlawanan ‘away’ yang memerlukan penerbangan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Malindo Air kerana memberikan sokongan padu kepada UiTM FC,” katanya pada program Ceramah dan Ikrar Bebas Rasuah serta majlis memperkenalkan Malindo Air sebagai rakan penerbangan rasmi UiTM FC, di Dewan Kompleks Sukan UiTM di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berharap penajaan itu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk lebih berusaha memberikan persembahan terbaik.

Katanya, pemain dan pengurusan pasukan juga perlu beretika serta menjaga intergriti bagi memastikan nama baik pasukan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpelihara.

“Jika anggota pasukan terbabit dengan aktiviti tidak bermoral, ia akan menimbulkan perasaan tidak selesa bagi penaja meneruskan tajaan mereka,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Produk Malindo Air, Harris Abdullah.


Pengarang :