MAPIM, SKOP Productions bina masjid untuk penduduk Palu | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

MAPIM, SKOP Productions bina masjid untuk penduduk Palu

JAKARTA, 2 FEB: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan membina empat masjid di Palu, Sulawesi Tengah selepas kebanyakan masjid di kawasan itu musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada September tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Alim Araby berkata, buat permulaan sebuah masjid yang diwakafkan oleh pengeluar filem dan siri televisyen Malaysia, SKOP Productions Sdn Bhd (SKOP Productions) akan dibina di atas tanah seluas 1.5 hektar di Palu.

“Masjid wakaf SKOP Productions ini dijadualkan siap dalam tempoh 50 hari atau sebelum Ramadan ini, bagi membolehkan masyarakat setempat mengimarahkannya pada Ramadan,” katanya di sini.


Beliau berkata pembinaan masjid itu adalah usaha berterusan MAPIM yang sebelum ini telah menghantar 20 trak makanan dan pelbagai bantuan ke Palu selain membina perigi air untuk keperluan air bersih penduduk.

Pada 28 Sept tahun lalu, kejadian gempa bumi bermagnitud 7.7 pada skala Richter di Sulawesi turut mengakibatkan tsunami di Palu dan Donggala, mengorbankan lebih 3,000 nyawa selain kemusnahan teruk harta benda dan infrastruktur serta rumah ibadat.

“Sebanyak 99 masjid musnah dan beratus rosak teruk di Palu. Pembinaan tiga masjid lagi akan dibincangkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKOP Productions, Datuk Yusof Haslam berkata, sumbangan terbabit adalah tanda keprihatinan syarikat terhadap penderitaan penduduk Palu.

“Tragedi itu berlaku ketika filem box office kami iaitu Munafik 2, ditayangkan di Indonesia. Ini adalah sumbangan kami untuk mereka dan kerja pembinaan masjid yang boleh memuatkan 300 jemaah itu akan bermula hari ini,” katanya yang mewakili syarikat menandatangani memorandum persefahaman dengan MAPIM bagi tujuan terbabit di sini.

Ketua Bidang Bimbingan Masyarakat Islam, Kementerian Agama Provinsi Sulawesi Tengah, Mohammad Ramli yang turut hadir pada majlis terbabit yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di sini berkata, beliau amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menyalurkan bantuan.

“Saya lahir di Palu, dibesarkan di Palu, menjalani kehidupan di Palu. Dalam sekelip mata kampung halaman kami musnah. Sukar untuk saya gambarkan.

“Dilaporkan lebih 3,000 terkorban tetapi itu berdasarkan data pihak berkuasa, beribu masih hilang berdasarkan aduan waris,” katanya yang yakin jumlah mangsa hilang jauh lebih besar berbanding angka rasmi kerajaan.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next