Mayat Abdul Bari ditemui terapung | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Mayat Abdul Bari ditemui terapung

KUALA TERENGGANU, 10 FEB: Setelah pelbagai usaha dilakukan, akhirnya mayat pemancing yang hilang ketika menyelamatkan empat mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan Jumaat lalu ditemukan kira-kira jam 7.24 pagi ini.

Mayat Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dijumpai orang awam dalam keadaan terapung di kawasan muka kuala Tanjung, Sungai Terengganu iaitu kira-kira 2.5km dari lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, mayat mangsa dinaikkan oleh anggota Mencari dan Menyelamat (SAR) bomba.


“Keluarga mangsa telah melakukan pengecaman dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Dengan penemuan ini operasi dan pusat kawalan operasi SAR ditutup secara rasmi pada jam 8.30 pagi,” katanya, lapor BERNAMA.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Abdul Bari Asyraf yang ketika itu sedang memancing bersama rakannya, terjun ke dalam muara sungai selepas melihat kereta pacuan empat roda itu terjunam.

Selain beliau, empat lagi orang awam turut melakukan perbuatan sama bagi menyelamatkan empat beranak di dalam kereta terbabit.

Empat beranak itu bagaimanapun selamat dan dihantar ke HSNZ untuk rawatan.

Operasi SAR juga membabitkan orang awam malah ia menarik perhatian pemimpin Kerajaan Negeri hingga menganjurkan solat hajat malam tadi sebagai antara usaha pencarian Abdul Bari Asyraf.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next