SELANGOR

MB – Anugerah untuk PJ bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam pendidikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 FEB: Kejayaan Petaling Jaya dinobatkan selaku penerima Anugerah Bandar Pembelajaran Pertubuhan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2019, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap bidang pendidikan khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melalui ciapan ringkas di Facebook berkata, kejayaan itu sekali gus meletakkan Petaling Jaya sebaris bandar raya ternama di dunia.

“Tahniah diucapkan kepada semua khususnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Pejabat Pendidikan Daerah Petaling serta Pejabat Daerah dan Tanah Petaling atas pencapaian membanggakan ini,” tulisnya.

Melalui kenyataan web rasmi UNESCO, kejayaan Petaling Jaya berikutan pencapaian cemerlang dan prestasi ditempa bandar raya itu dalam sektor pendidikan.

Kajian itu berdasarkan daripada Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat UNESCO (UIL), yang menyifatkan rancangan Petaling Jaya menaik taraf pendidikan awam dan mampu menyediakan bas percuma adalah satu perkara terbaik.

Malah, bandar raya itu (Petaling Jaya) juga menggunakan sepenuhnya sumber disediakan rakan strategik.

Selain Petaling Jaya, sembilan bandar raya lain diberi anugerah sama ialah Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sønderborg (Denmark).

UNESCO berkata, kejayaan 10 bandar raya berkenaan mampu memberi keyakinan bagi mempromosikan pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat di peringkat tempatan.

Anugerah berkenaan akan disampaikan pada penganjuran Persidangan Bandar Pembelajaran Antarabangsa 2019 di Medellin, Columbia.


Pengarang :