SELANGOR

MB – Bantuan peniaga terjejas kebakaran dalam masa terdekat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Bantuan kepada peniaga terjejas ekoran kebakaran di kedai bazar larut malam, Uptown Puchong Permai, baru-baru ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang mendapatkan laporan penuh daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berhubung kejadian berkenaan.

“Kita akan umum bantuan dan sokongan bagi membantu peniaga ini kerana saya tahu mereka berdepan kesusahan serta musibah daripada kebakaran tempoh hari,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Festival Demokrasi, di The Square Publika, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADN Balakong, Wong Siew Ki.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 7.58 pagi pada 2 Februari lalu, sebanyak 200 lot kedai bazar larut malam, Uptown Puchong Permai, di Jalan Puchong Permai musnah dalam satu kebakaran dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.

Pada masa sama, Amirudin berkata, perbincangan akan dibuat dalam masa terdekat bersama MPSJ bagi mengenal pasti sama ada tapak asal itu boleh diguna semula atau sebaliknya.

“Kemungkinan tapak ini akan dipindah tetapi itu semua diuruskan MPSJ dan saya sedang mendapatkan laporan daripada mereka.

“Bagaimanapun, kita juga melihat secara kedudukan tanah, posisi dan sebagainya sama ada sesuai atau tidak. Kesemua aspek itu harus dinilai,” katanya.

 


Pengarang :