BERITA UTAMASELANGOR

MB jelajah universiti, dekati anak Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 20 FEB: Program Jelajah Maju Bersama yang sinonim dengan Amirudin Shari, diperluaskan ke peringkat universiti, bagi mendekati anak Selangor.

Jelajah itu secara rasmi membuka tirai, semalam dengan Dato’ Menteri Besar berkunjung ke Universiti Putra Malaysia (UPM), untuk menjelaskan program dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Bercakap kepada Media Selangor, Amirudin berkata, inisiatif itu juga memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara dekat dengan pihak universiti.

“Melalui jelajah ini, kita mahu mengetengahkan gagasan dan bantuan dilaksanakan Kerajaan Negeri yang disediakan khas kepada anak Selangor.

“Antara pengisian yang akan diketengahkan adalah kita akan mengadakan sesi dua hala seperti ‘town hall’ atau membuka gerai pameran seperti Smart Selangor supaya mereka boleh melihat sendiri program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar di Universiti Awam 2019, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak menyasarkan jumlah universiti yang akan dilawati, sebaliknya fokus meneruskan jelajah itu dari semasa ke semasa.

“Kita tiada sasaran untuk melawat berapa (jumlah) universiti dan ia tidak semestinya akan habis dalam tahun ini kerana jelajah ini akan berlaku dari semasa ke semasa.

“Selain itu, sesi jelajah ini akan diadakan sehingga ke Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah kerana saya difahamkan terdapat anak Selangor juga belajar di sana,” katanya.


Pengarang :