SELANGOR

MB – Kukuh muafakat melalui amalan ziarah-menziarahi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 5 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan Sambutan Tahun Baharu Cina mampu menerapkan nilai perpaduan dan mengukuhkan semangat muafakat bersama penduduk setempat melalui amalan ziarah-menziarahi.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sudah beliau mengambil kesempatan menziarahi masyarakat Tionghua dan beberapa kenalan rapat di sekitar kawasan Sungai Tua.

“Seperti kebiasaannya, saya akan menggunakan peluang ini untuk duduk bersama penduduk, terutama kawan-kawan yang banyak membantu di kawasan Sungai Tua.

“Ini memang program tradisi saya setiap tahun, bukan sahaja Tahun Baharu Cina, tetapi semua perayaan disambut masyarakat di negara ini.

“Kemeriahan amalan kunjung-mengunjungi dapat dirasai apabila semua masyarakat berkumpul untuk bersama meraikannya dalam kepelbagaian kaum,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi teratak mewah Ketua Pegawai Eksekutif Sri Ternak Group of Companies, Dato’ Raymod Ho, di Taman Melati, di sini, hari ini.

Beliau yang tiba bersama keluarga kira-kira jam 10.30 pagi disambut Raymond di perkarangan rumah berkenaan.

Dalam kemeriahan majlis berkenaan, Amirudin turut bersama keluarga Raymond menggaul ‘Yee Sang’ dan meluangkan masa hampir setengah jam untuk bersembang dengan kenalannya itu sambil menikmati juadah makanan disediakan.

Hadir sama, pelakon dan penerbit popular tanah air, Datuk Mohamed Noor Shamsuddin atau Rosyam Nor.

Terdahulu, Amirudin juga meluangkan masa hampir setengah jam dengan mengunjungi rumah aktivis masyarakat, Ah Lian, di Kampung Selayang Baru, di sini.

 


Pengarang :