SELANGOR

MB: Masa bekerja, laksana segala janji

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina disifatkan amat bersejarah kerana ia adalah kali pertama diraikan di era Malaysia Baharu selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.

Justeru, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pastinya rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) termasuk Kerajaan Negeri untuk melaksanakan segala pembaharuan dan perubahan yang dijanjikan.

“Kini adalah waktu untuk bekerja. Bekerja lebih kuat untuk rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia mengerti bahawa proses transisi dari sebuah kerajaan kleptokrat kepada suatu Kerajaan Reformasi bukanlah mudah,” katanya dalam perutusan sambutan Tahun Baharu Cina.

Amirudin berkata, ia bukan alasan kepada pimpinan PAKATAN termasuk beliau untuk bersikap sambil lewa serta masih gugup mentadbir.

“Masa mencemburui kita. Mandat yang diamanahkan rakyat harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Kita di Selangor boleh dikira bertuah kerana sudah memulakan proses pembaharuan ini semenjak 2008 lagi.

“Segala tohmahan yang dilemparkan sejak 10 tahun lalu dijawab dengan pelaksanaan dasar yang mensejahterakan negeri dan rakyat Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pada pilihan raya yang lalu, rakyat Selangor memberikan suatu kemenangan yang besar kepada PAKATAN.

“Oleh kerana itu demi memaknai kemenangan terbabit, Belanjawan 2019 turut menumpukan kepada dasar memacu ekonomi negeri dengan membangunkan sepuluh kluster yang dinamakan Gugusan Ekonomi Negeri Selangor.

“Inisiatif ini berhasrat untuk merungkai dan melancarkan segenap potensi yang ada pada setiap lokaliti agar ekonomi tempatan dapat dilonjakkan sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mengajak seluruh rakyat untuk menghayati kemajmukan budaya yang wujud di Selangor demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri.

“Kepada masyarakat Tionghua, saya berharap sambutan kali ini diraikan dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan,” katanya.


Pengarang :