SELANGOR

MB: Semua pihak perlu bekerjasama jaya industri aeroangkasa

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerajaan Negeri mahu semua pihak bekerjasama bagi mencapai sasaran memperoleh RM175 bilion pendapatan industri aeroangkasa menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, piha berkaitan seperti institusi pengajian tinggi, pusat latihan, sektor swasta dan sebagainya harus bergabung bagi membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan sasaran itu.

“Universiti dan pusat latihan diperlukan bagi menyediakan tenaga kerja dan modal insan, manakala syarikat swasta mewujudkan ekosistem.

“Kerajaan Negeri pula sedikit sebanyak akan memudahkan proses pendaftaran syarikat dan kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Invest Selangor Berhad dan UMW Development Sdn Bhd di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, masih ada banyak lagi ruang yang boleh diteroka bagi membangunkan industri aeroangkasa di Selangor.

Terdahulu, Selangor turut mensasarkan menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.


Pengarang :